Dosa Mengumpat & Membuat Fitnah, Insaflah…
Untuk Renungan Bersama…
Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam telah meramalkan
cabaran dan dugaan-dugaan yang dihadapi oleh para Mukmin, Da’ei dan Mujahidin di jalan Allah Swt.
Beliau bersabda:
Orang Mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang susah:
1. Mukmin yang dengki padanya
2. Munafiq yang benci kepadanya
3. Kafir yang memeranginya
4. Syaitan yang menyesatkannya
5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya
(Hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dan
hadith Anas dalam tajuk: “Akhlak Yang Luhur.”)
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu
hasad dengki dan
permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau
pencukur, Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan)
ialah ia mengikis agama.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)
Rasulullah sendiri melarang sifat hasad dengki dan saling
dengki mendengki. Beliau melarang sifat benci dan saling
menimbulkan kebencian. Beliau juga melarang sifat saling membesar diri dan
jebak-menjebak antara satu sama lain.
Sebenarnya orang-orang yang dengkikan kelebihan, kebolehan
dan ilmu yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada
para Du’at mempunyai jiwa yang berpenyakit, hati yang berkarat. Mereka
sanggup membuat tipu-daya terhadap saudara mereka sendiri demi
melepaskan kemarahan dan sentimen yang meluap dalam dada mereka. Sikap
inilah yang pernah mendorong Qabil membunuh saudara kandungnya Habil.
Babak-babak dakwah Islam yang dilalui sepanjang sejarah
zaman dahulu dan kini banyak memperlihatkan peristiwa-peristiwa
tragis di mana penyebab utamanya ialah sifat hasad dengki. Bukan sifat
dengki dari orang jauh tetapi yang datang dan kalangan sahabat handai sendiri.
Salah seorang penyair bermadah:
Penganiayaan oleh kaum kerabat
lebih berbisa dirasakan,
oleh seseorang, dari tusukan pedang waja India.
Sekian banyak para pemimpin dan penguasa yang telah difitnah
dan dicela, khabar-khabar angin dan kata nista dihadapkan kepada
diri mereka; terbit dari rasa dengki orang yang sakit jiwa dan tidak
mengendahkan maruah orang dan tanggungjawab akhlak terhadap orang lain.
Sekian banyak tuduhan-tuduhan palsu dicipta untuk mengobarkan kebencian
dan permusuhan yang didorong oleh perasaan dengki dan khianat.
Banyak jamaah yang berpecah-belah kerana angkara manusia pendengki
yang busuk hati; membawa fitnah ke sana ke mari tanpa rasa takut kepada Allah swt, — Tuhan alam semesta; tanpa mengambil
pusing akan peringatan Rasulullah s.a.w.
Beliau bersabda mengingatkan:
“Orang yang berhati dengki, yang menjadi batu api, beramal
dengan yang karut- marut bukan daripada umatku dan aku bukan ikutan mereka.”
“Orang-orang yang menyakiti para Mu‘min lelaki dan perempuan
(dengan membuat fitnah) padahal mereka (orang-orang yang beriman tersebut)
tidak berdosa maka sesungguhnya pembawa fitnah tersebut telah memikul beban
pendustaan dan dosa yang nyata.”
(Surah Al-Ahzab: Ayat 58)
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mengembar-gemburkan (pada orang ramai) sesuatu
perkara (perkataan) terhadap seseorang Muslim untuk menjatuhkan
maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian maka wajiblah Allah
mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari Qiamat dalam api neraka sehinggalah ia
dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya.”
(Hadith riwayat Al-Thabarani)
Orang yang dengki itu mungkin akan mengumpat dan menjadi
batu api padahal ia menyangka ia telah berbuat baik, syaitan pula
mengajukan alasan-alasan kepadanya untuk membenarkan perbuatan buruk
tersebut supaya dia terus terjebak di dalam fitnah.
Alangkah baiknya kalau manusia pendengki tersebut memahami betapa ruginya akibat dengki khianat tersebut. Sesungguhnya
Allah swt telah menjanjikan untuk orang-orang
sepertinya siksa yang pedih. Lebih-lebih lagi untuk orang yang terus-menerus mengembangkan fitnah tanpa bertaubat dan sedar diri.
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam:
"Barangsiapa yang memakan daging saudaranya di dunia
(mengumpat) kelak pada hari Qiamat dibawakan kepadanya, makanlah daging bangkai ini
sebagaimana engkau makan dagingnya ketika dia hidup dahulu. Lalu ia pun makan
memakan daging itu sambil berteriak-teriak." (Hadith riwayat A1-Tabrani dan lain-lain)
Perbezaan atau Maksud sebenar Mengumpat & Fitnah:
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam:
"Mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Sahabat bertanya
bagaimana? Rasulullah menjawab: seorang yang berzina itu kalau bertaubat mungkin
taubatnya itu diterima oleh Allah. Akan tetapi orang yang mengumpat tidak akan
Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang yang diumpatinya itu memaafkannya.”
(Hadith riwayat Tabrani dan Baihaqi)
Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam menerangkan lagi
pengertian mengumpat dengan sabdanya:
“Tahukah kalian apa ertinya mengumpat?” Sahabat menjawab:
“Allah dan RasulNya yang lebih tahu.”
Ujar Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam
lagi: (Mengumpat ialah)“Engkau mengatakan tentang saudaramu sesuatu yang
tidak disukainya.”
Lalu ditanyakan: “Bagaimana kalau ada sesuatu yang patut saya
kata tentang saudara saya itu?” Jawab Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam:
“Sekiranya apa yang engkau sebutkan tentang saudaramu itu betul-betul ada padanya, maka
itu bermakna engkau telah mengumpatnya tetapi jika tidak betul maka itu
bererti engkau telah mengada-adakan kebohongan (fitnah) terhadapnya.”
Faktor Yang Menyebabkan Hasad Dengki
Di dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam Al Ghazzali radiyalla’anhu ada disimpulkan sebab-sebab yang menimbulkan
perasaan hasad dengki tersebut.
Antara lain:
i) Perasaan Permusuhan dan Kebencian
ii) Merasa Diri Mulia
iii) Takabbur
iv) Ujub
v) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
vi) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
vii) Busuk Hati
________________________________________________________________________
p/s: Aku dpt artikel ini dari sumber yg boleh dipercayai, bukan aku karang sendirik, aku cume copy paste je, harap dpt mberi renungan kepada kite semua.
Semua manusia di dunia ini melakukan kesilapan & Aku sedar aku juga tidak lari drpd melakukannya, tapi yg aku psti, walau ada orang kata (ada ORANG kata la) aku ni sombong, berlagak ke kerek ke apa, satu mende yg aku PASTI, aku TAK DENGKI & BATU API, TAK JAGA TEPI KAIN ORG LAIN & BUSUK HATI pada org lain , & aku TAK TIKAM KAWAN DARI BELAKANG. Dan yg pasti aku tak buat dosa yg satu ni; FITNAH & MENGUMPAT, mintak dijauhkan. Kalo korg bce artikel kt atas ni korg akn pham betapa besarnye dosanya. Bayangkanlah, korg SEMBAHYANG CUKUP 5 WAKTU sekalipun, ingat! orang yang mengumpat tidak akan
Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang yang diumpatinya itu memaafkannya…
July 9th, 2008 at 6:40 am
ruangan ini sgt bgs